Tuesday 27 January 2015

ORANG ASAL SABAH SARAWAK WAJAR DIMARTABAT, BUKANNYA BERTARAF 'OT'

Keputusan Kerajaan Negeri Sabah, melalui surat pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri, bertarikh 23hb Januari 2015 untuk memansuhkan bangsa 'dan lain-lain' disifatkan sebagai amat tepat tapi cukup terlambat. Demikian menurut Jalibin Paidi, Presiden Semangat Satu Perjuangan Rakyat (SSPR), ketika mengulas keputusan Kerajaan Negeri Sabah itu.

"Mengapa selepas 52 tahun digunakan, baru terfikir ia membawa keburukan? Mengapa bila Kerajaan Negeri Sarawak melakukannya, baru mau ikut-ikutan? Tiada walau seorang pun kah pemimpin kerajaan kita yang menyedarinya selama ini? Mengapa isu ini hangat diperkata orang ramai dan di media sosial, barulah ada tindakan?" Soal Jalibin, yang juga seorang aktivist UBF.

Isu bangsa 'dan lain-lain' sebenarnya sudah lama timbul, terutama bermula dari berkembangnya aktiviti penerangan United Borneo Front (UBF) ke seluruh pelusuk Sabah, sejak tahun 2010. Menurut orang-orang Asal Sabah, penggunaan bangsa 'dan lain-lain' menjatuhkan taraf dan martabat mereka. Borang rasmi kerajaan yang digunakan selama ini sememangnya menyediakan ruang bangsa, yang meletakkan bangsa Melayu sebagai nombor 1, disusuli Cina dan kemudian India, di kedudukan ketiga. Sementara bangsa orang-orang asal Sabah Sarawak seperti Dusun, Iban, Melanau, Bajau, Brunei ( sekadar beberapa contoh ) tidak disenaraikan langsung. Sebaliknya satu ruang disediakan dan ditulis 'dan lain-lain'.

"Sebagai penduduk asal Sabah, orang-orang asal Sabah sepatutnya diletakkan dalam pilihan pertama dalam ruang bangsa. Meletakkan kami di ruang 'dan lain-lain', jika diumpamakan jenis kayu, kami orang-orang asal hanya bertaraf 'OT'."

"Selain memansuhkan penggunaan 'dan lain-lain' dalam borang, kerajaan juga wajar memohon maaf kepada penduduk asal Sabah dan Sarawak atas kegagalan memberikan pengikhtirafan yang sewajarnya kepada bangsa ini. Kerajaan juga wajar memohon maaf jika penggunaan 'dan lain-lain' selama ini, telah menyebabkan diskriminasi terhadap bangsa orang-orang asal Sabah Sarawak dalam semua urusan kerajaan. Jika Melayu diletakkan sebagai pilihan nombor satu, maka bererti, kami selama ini hanya menjadi pilihan terakhir bila sudah tiada Melayu, Cina dan India yang layak." ujar Jalibin lagi.

Jalibin turut mencadangkan agar ruangan bangsa, selepas ini dikosongkan dalam semua urusan kerajaan.

"Jika ada rakan saya Melayu mengisi borang, maka dia hendaklah menulis sendiri perkataan Melayu di ruangan bangsa. Begitu halnya jika rakan saya Cina atau India atau saya sendiri mengisi borang yang sama. Malaysia ini milik semua bangsa, dan bangsa asal Sabah tidak wajar dipinggirkan" demikian menurut Jalibin lagi.

2 comments :

  1. kebanyakan pemimpin sekarang hanya perjuangkan kedudukan mereka dan menjaga periuk nasi mereka

    ReplyDelete
  2. Klu sy sokong sskm keluar dari malaysia, kerajaan nagara borneo boleh jamin org islam tidak di pinggir kan

    ReplyDelete