Sunday 25 January 2015

"Kita Harus Mendapat Tempat Sebagaimana Mereka Yang Berada Di Tanah Semenanjung Malaysia"

Ada seorang tua-tua mengatakan kepada saya bahawa semua bangsa,suku kaum atau etnik itu diibaratkan umpama ribuan butir-butir nasi yang dimasak dalam sebuah periuk nasi, kita dapat berkongsi sebuah periuk nasi yang sama,dan sudah sepatutnya bersama sama merasai kehangatan daripada api yang menyala. Hairannya, apabila kita semua disatukan di dalam sebuah periuk nasi yang sama tetapi terdapat kelompok yang berdominan mulai menduduki posisi yang lebih selesa dan perbezaan ketara mulai muncul apabila kewujudan ‘subjek’ lain  tidak diperhatikan seterusnya gagal menempatkan diri,untuk duduk berkongsi sama taraf dan menikmati hak-hak yang sama.Adalah penting untuk mengiktiraf kewujudan semua bangsa,suku kaum ataupun etnik-etnik yang terdapat dalam mana-mana blok masyarakat secara keseluruhannya di Malaysia.

Memahami kewujudan serta mengakui hak-hak yang sama juga sepatutnya diberikan kepada semua penduduk pribumi Sabah dan pribumi Sarawak.Sepatutnya Kerajaan Malaysia juga harus menjamin bahawa kewujudan bangsa yang bersifat kepelbagaian yang wujud sekian lama di Kepulauan Borneo tidak juga hanya melalui jaminan di atas sekeping kertas atau dokumen sahaja namun secara realitinya juga harus tetap melaksanakan hak-hak yang sewajarnya juga dikembalikan dan diberikan keutamaan kepada penduduk di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Di Sabah, kami tidak mahu anak-anak kami menggambarkan identiti  diri mereka dengan “Lain-Lain” atau “Bumiputra”. Sebab bangsa-bangsa yang sudah sekian lama wujud di Kepulauan Borneo adalah sangat penting untuk diri kami sendiri bagi menggambarkan identiti diri yang jelas amat berbeza bagi mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia. Kami juga mempunyai sifat untuk melindungi identiti diri dan bangsa kami, sepatutnya hal pengabaian dan penafian terhadap suku kaum dan etnik tidak berlaku. Apabila ada pihak yang cuba mengertikan dan memberikan kefahaman bahawa orang-orang asal dan masyarakat orang asli di Sabah ialah mewakili “Bumiputra Melayu” adalah kurang logik dan tidak dapat diterima langsung.

Jangan cuba untuk mengubah sejarah dan realiti identiti sebenar Sabah. Penduduk Sabah adalah terdiri dari berbagai-bagai kaum dengan latar belakang dan kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya atau lebih dikenali sebagai bumiputra Sabah, terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan suku kaum atau etnik dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang daripada 90 dialek.

Majoriti masyarakat di Sabah terdiri daripada kebanyakkannya ialah bukan Islam, namun kini kami telah menjadi agama minoriti di tanah air kami sendiri dan masalah ini sedikit sebanyak telah menjadi punca utama ketegangan etnik di Sabah.Pernyataan ini adalah melalui pemerhatian umum.Secara umumnya, Sabah telah melalui satu kadar paling tinggi dari segi pertumbuhan penduduk sebagai hasil daripada imigresen haram dan undang-undang Negeri yang digembar gemburkan telah ditaja, selain itu akibat penaturalisasian dari tempat lain di Malaysia, Indonesia dan turut menyumbang ialah mereka yang berasal dari wilayah selatan dari Filipina yang beragama islam.Mereka-mereka ini yang telah diberikan atau “dianugerahkan saham Melayu” dan kewarganegaraan telah diberikan. Impak daripada konflik ini menyebabkan mereka yang tidak layak turut berkongsi hak-hak dengan orang asal Sabah yang bukan “Bumiputra Melayu”.

Manakala, terdapat juga suku kaum bukan pribumi Sabah yang boleh menikmati faedah Bumiputera. Ini berdasarkan Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang mendefinisikan "Orang Melayu" seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bertutur bahasa Melayu, menurut adat Melayu dalam kehidupan seharian. Oleh sebab yang demikian, penduduk dari Semenanjung Malaysia, Sarawak serta imigran dari Indonesia dan Filipina yang beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu seharian serta telah bermastautin di Malaysia adalah dalam lingkungan takrifan ini, lantas dapat menikmati faedah Bumiputra walaupun bukan berasal dari kalangan Pribumi Sabah.

Sejak zaman kepimpinan Tun Mustapha lagi, para pemimpin tempatan Sabah sudah pun menyatakan kebimbingan mereka tentang sebagai akibat membentuk sebuah Persekutuan baru yang diberi nama Persekutuan Malaysia. Mereka, para pemimpin kita katakan bahawa Malaysia tidak akan berjaya kerana komposisi etnik yang terdapat di Malaysia dan di Sabah akan jauh berbeza,oleh kerana kepelbagaian kaum dan budaya yang majoriti kebanyakkannya ialah orang bukan Islam yang merupakan agama utama di Sabah.

Dalam pada awal tahun 1960an, Lee Kuan Yew yang memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah mengkritik dasar perkauman di Malaysia. Dalam pada tahun itu, terdapat sebuah gabungan parti-parti politik yang telah ditubuhkan untuk menentang kuota khas untuk orang-orang Melayu dan pribumi lain di Malaysia, dengan ungkapan “Malaysian Malaysia”. Gabungan parti ini telah menentang perkara 153 dalam perlembagaan Malaysia, kerana ia akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mewujudkan monopoli Melayu dalam urusan lesen perdagangan, kemasukan ke dalam perkhidmatan awam,pemberian biasiswa awam dan kemasukan ke institusi pendidikan awam.

Di Malaysia, kerajaan sepatutnya tidak mengaplikasikan konsep 1 Malaysia jika penduduk Sabah dan Sarawak masih berasakan telah dipinggirkan dan diabaikan status atau identiti diri kerana dilabelkan di bawah “Lain-lain”.Jika ada pendapat yang mengatakan bahawa penduduk di Sabah dan Sarawak berkecil hati kerana sebahagian berpendapat dan menganggap bahawa ianya suatu perkara yang kecil,maka saya katakan bahawa sehinggalah kamu duduk menghadapi situasi yang sedemikian rupa maka kamu akan tahu bahawa sebenarnya perkara ini telah memberikan kesan yang besar terutama sekali kepada taraf sosial masyarakat, sektor pendidikan dan perekonomian bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.

Tanpa kita tidak sedari bahawa selama ini telah berlaku tindakan untuk mendiskriminasikan rakyat Sabah dan Sarawak. Kerajaan Malaysia selama ini hanya bangga untuk melaung laungkan hanya 3 kaum utama yang terdapat di Malaysia iaitu Melayu,Cina, India dan diikuti “Lain-Lain” untuk mewakili 30 kumpulan suku kaum etnik yang terdapat di Kepulauan Borneo (Sabah Sarawak). Adakah selama ini mengikut takrifan mereka bahawa kumpulan “Lain-lain” ini ditunjukkan kepada kumpulan sasar iaitu “golongan mundur”? Ketidakseimbangan sebenar telah dirasakan selama berpuluh puluh tahun sejak Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membentuk sebuah Persekutuan yang Baru iaitu Malaysia, dan kami menganggap bahawa terdapat ketidakadilan dalam mencerminkan pecahan-pecahan penduduk dalam sebuah Negara iaitu Malaysia.

Keadaan sekarang cukup jelas menggambarkan bahawa Malaysia hanya memberikan layanan utama hanya kepada 3 kaum dominan ini. Sepatutnya bumiputra Sabah dan Sarawak turut diberikan layanan yang adil dan sama rata. Mana-mana kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak sudah tentu ingin mendapat layanan baik daripada agensi kerajaan, yang bilamana anak-anak Sabah dan Sarawak yang memohon pekerjaan di sektor kerajaan atau pejabat kerajaan untuk memohon peluang pekerjaan, lesen dan sebagainya dapat dijalankan dengan cara yang adil tidak mengira bangsa atau agama.

Penduduk Sabah dan Sarawak mahukan satu sistem keadilan dan kesamarataan berlaku kepada semua orang tanpa berlaku prejudis.Kerajaan melihat semua kaum yang terdapat di Malaysia termasuk orang asal Sabah dan Sarawak sebagai warga Malaysia itu sahaja.Bagi Sabah dan Sarawak yang bukan mewakili 3 bangsa utama ini, kami ingin diberikan layanan yang sama rata, kerana takrifan “Lain-lain” itu bersifat terlalu umum, kita umum mengetahui bahawa status “Lain-lain” itu turut diguna pakai samada kamu rakyat Malaysia atau warga asing atau Pendatang Tanpa Izin. Diharapkan, selagi Sabah dan Sarawak berada dalam Malaysia, kita harus mendapat tempat sebagaimana mereka yang berada di tanah Semenanjung Malaysia.

0 comments :

Post a Comment