Tiba-tiba saja Perkara 20 ( P20 ) menjadi perbincangan hangat akhir-akhir ini. Semuanya berpunca bila ada kelompok kecil Sabahan sendiri yang cuba menafikan kewujudan P20. Kalau dahulu, P20 ini amat sensitif untuk dibincang, kini isu ini sudah menjadi bualan seharian. Namun, amatlah malang jika Sabahan sendiri yang berusaha menafikan isu ini, sedangkan disebabkan P20lah, Sabah kini menjadi sebahagian dari Persekutuan Malaysia.
P20 sebenarnya adalah 20 syarat yang diajukan oleh semua parti politik Sabah sebelum wujudnya Persekutuan Malaysia, untuk membolehkan Sabah setuju bergabung membentuk negara baru. Untuk melihat isi kandungan P20, ia hendaklah dilihat dan disesuaikan dengan zaman pra pembentukan Malaysia. P20 adalah harapan dan impian Sabahan untuk tanah air mereka, bila berada dalam Malaysia kelak. Mentafsir P20 berdasarkan masa kini adalah suatu kesilapan. Tetapi P20 ini juga adalah kayu ukur jelas apakah impian kita dalam Malaysia adalah sekadar fantasi atau apakah P20 itu benar-benar telah dipatuhi.
Memandangkan pada pendapat penulis bahawa P20 itu adalah sesuai pada tahun 1960an, maka penulis juga ingin mengulas kembali semua PERKARA yang terdapat dalam 20 Perkara ini. Ini disebabkan persekitaran dan keadaan masyarakat pada 1960an sudah amat jauh berbeza dengan keadaan sekarang. Berikut adalah pandangan penulis untuk P20 yang diperlukan Sabahan sekarang;
1. AGAMA
Agama Islam adalah agama rasmi Sabah. Bagai mana pun, semua agama lain adalah bebas diamalkan, sama seperti bebasnya orang Islam dalam menjalankan aktiviti keagamaan mereka. Akta Khas perlu digubal untuk mengelakkan kewujudan pihak yang memperlekeh agama lain, terlebih lagi yang bersifat menghina. Peruntukan pembangunan kemudahan untuk semua agama hendaklah sama rata.
2. BAHASA
Bahasa rasmi ialah English, dan bahasa kedua hendaklah Mandarin. Ia bersesuaian dengan keperluan global, bagi membolehkan Sabahan mampu bergaul dengan bangsa sedunia.
3. PERLEMBAGAAN
Perlembagaan tertinggi dalam NEGARA SABAH hendaklah Perlembagaan Sabah itu sendiri. Mana-mana Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang bertentangan dengan Perlembagaan Sabah, maka perlembagaan Persekutuan itu tidak terpakai di Sabah.
4. KETUA PERSEKUTUAN
Seperti asal.
5. NAMA PERSEKUTUAN
Seperti asal.
6. IMIGRESEN
Sabah mesti ada Jabatan Imigresen sendiri, yang bertanggung jawab terhadap TYT Sabah. Sabah mesti ada kawalan penuh ke atas kedaulatan bumi Sabah.
7. HAK BERPISAH
Sabah berhak berpisah dari Persekutuan jika diluluskan oleh majoriti mudah DUN Sabah. Ini selaras dengan laporan IGC.
8. BORNEONISASI
Semua penjawat awam Persekutuan di Sabah hendaklah hanya dikhususkan kepada Sabahan. 30% jawatan tinggi Jabatan dan Agensi Persekutuan di peringkat Persekutuan juga hendaklah dikhususkan untuk Sabahan.
9. PEGAWAI BRITISH
-Mansuh-
10. KEWARGANEGARAAN
Sabah berkuasa penuh berkaitan soal kewarganegaraan. Rakyat Sabah hendaklah secara automatik menjadi rakyat Persekutuan, tetapi tidak semestinya rakyat Persekutuan adalah rakyat Sabah. Sabah hendaklah ada Kad Pengenalan sendiri, selain dari Kad Pengenalan Persekutuan.
11. TARIF DAN KEWANGAN
Sabah hendaklah berkuasa penuh mengurus dan membelanjakan hasil sendiri. Boleh mengeluarkan mata wang sendiri, berdagang terus dengan negara asing, dan mempunyai Lembaga Hasil Dalam Negeri sendiri. Hasil Sabah sebanyak 5%, hendaklah disumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan.
12. KEDUDUKAN ISTIMEWA KAUM BUMIPUTERA
Orang Asal Sabah hendaklah diberi hak istemewa dalam dasar-dasar kerajaan, termasuk pemilikan tanah, pendidikan, peluang pekerjaan dan peluang perniagaan. Bagaimana pun, tiada penindasan dibenarkan ke atas hak penduduk Sabah yang lain.
13. KERAJAAN NEGARA
Kerajaan Negara Sabah hendaklah ditentukan sepenuhnya oleh DUN Sabah. Persekutuan dilarang sama sekali untuk campur tangan dalam hal ehwal Kerajaan Negara. Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah hendaklah diwujudkan.
14. TEMPOH PERALIHAN
-tidak releven-
15. PELAJARAN
Sistem pendidikan di Sabah, bermula dari PraSekolah hingga Universiti, hendaklah ditentukan sendiri oleh Kerajaan Negara, tanpa campur tangan Persekutuan. Bahasa penghantar ialah Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua.
16. PERLINDUNGAN PERLEMBAGAAN
Tiada satu pun kandungan Perlembagaan Sabah, boleh dibawa ke Mahkamah oleh pihak Persekutuan.
17. PERWAKILAN DALAM PARLIMEN PERSEKUTUAN
Sabah hendaklah diberi hak 30% Ahli Parlimen dari jumlah keseluruhan Ahli Parlimen Persekutuan. Ia bersesuaian dengan konsep rakan kongsi membentuk Persekutuan Malaysia.
18. GELARAN KETUA NEGARA
Yang Dipertua Negara atau Gabenor
19. NAMA NEGARA
North Borneo. Memudahkan untuk dikenali di seluruh dunia.
20. TANAH, HUTAN, KERAJAAN TEMPATAN DAN LAIN-LAIN
Semua yg tersebut adalah hak mutlak Sabah, termasuk juga minyak. Sabah juga berhak bertanding dalam semua jenis acara sukan di Peringkat Antarabangsa atas nama North Borneo.
P20 versi baru ini, saya amat yakini adalah aspirasi sebenar pemimpin-pemimpin lama kita sehingga setuju membentuk sebuah Persekutuan rakan kongsi pada tahun 1963. P20 versi baru ini juga amat sesuai dengan keadaan Sabah sekarang, dan bersesuaian pula dengan aspirasi seluruh Sabahan.
Selamat berjuang demi hak, demi kedaulatan sebagai sebuah NEGARA MERDEKA dalam Persekutuan Malaysia.
Jalibin Paidi